Membuat persiapan majlis pertunangan atau perkahwinan memerlukan banyak perancangan memastikan semuanya berjalan lancar.
Ada ketikanya disebabkan terlalu sibuk, banyak fikir mengenai majlis dan kurang tidur boleh menyebabkan wajah tidak bermaya dan jerawat mudah tumbuh.
Dalam kesibukan itu, pastinya bakal pengantin mahu tampil dengan wajah jelita, segar dan berseri sekali gus tampak penuh berkeyakinan ketika bersanding di atas pelamin.
Antara kaedah boleh dicuba bakal pengantin untuk rawatan pantas bagi menaikkan seri pengantin ialah menerusi rawatan berbekam pada wajah.
Bekam membantu mengeluarkan darah kotor yang berlaku akibat gaya hidup termasuk tabiat pemakanan tidak sihat, sekali gus wajah yang melalui rawatan ini, wajah lebih berseri serta wajah akan terasa 'ringan'.
Darah kotor yang keluar daripada kulit, membantu membersihkan kawasan sekitar. Apabila bersih, serentak dengan itu seri wajah akan terserlah, kerana apabila darah bersih, serta-merta wajah tampak bercahaya dan berseri. Segala noda termasuk jerawat juga tidak kembali.
Teknik bekam wajah juga agak mudah. Ia hanya menggunakan cawan bekam yang kecil dan ringan, manakala proses menyedut darah kotor juga kurang daripada 30 minit. Bagi wanita kali pertama mencuba teknik ini, mereka khuatir akan tinggal parut luka. Jangan risau tusukan jarumnya sangat halus.Selepas ditekap dengan cawan bekam untuk tempoh kira-kira 30 minit, darah kotor berwarna kehitaman akan keluar dengan sendirinya. Luka kecil itu akan kita sapukan dengan minyak zaitun
Bagi pengantin, disyorkan supaya ia dilakukan seminggu lebih awal daripada majlis diadakan. Usah risau kerana rawatan tradisional itu tidak meninggalkan kesan berbanding bekam pada tubuh.
Antara kebaikan rawatan ialah ia berupaya mengembalikan kesegaran dan mengekalkan keremajaan kulit wajah apabila toksin yang terkumpul dibuang melalui kaedah ini.
Selain itu, rawatan ini juga membantu melancarkan peredaran darah di bahagian wajah dan kepala. Ketika rawatan dijalankan cawan akan diletakkan satu persatu pada wajah kerana bahagian berkenaan nipis, tidak seperti bahagian anggota tubuh lain.
Sungguhpun bekam boleh dilakukan oleh sesiapa saja tanpa sebarang pantang, cuma tidak disarankan pada individu yang datang haid. Rawatan bekam boleh membantu mengatasi migrain, jerawat dan resdung. Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kaedah ini kerana dapat mengurangkan masalah dihadapi pada bahagian tertentu badan.
Teknik berbekam tidak meninggalkan parut dan rasa sakit serta sesuai untuk wajah yang sensitif.